Sunday, July 19, 2015

Maaf Zahir Batin

Sukar meminta maaf merupakan satu petanda ego yang degil. Sukar memaafkan juga merupakan satu petanda ego yang degil.

Bagi mereka yang sukar untuk memaafkan, rata-rata sebab yang diutarakan sebagai justifikasi ialah, "Dia tidak layak mendapat kemaafan aku."

Jika Allah boleh memaafkan seorang hamba-Nya yang membunuh 100 orang (seperti dalam hadis yang menceritakan kisah ini), maka bagaimana pula kita boleh berhujah bahawa seseorang itu "tidak layak" mendapat kemaafan kita?

Apakah kemaafan kita lebih tinggi daripada kemaafan Allah sehinggakan kita merasakan bahawa orang lain perlu mendapat kelayakan terlebih dahulu?

Ya, mungkin benar bahawa perbuatan buruknya terhadap kita itu meninggalkan kesan luka yang mendalam. Ya, mungkin benar bahawa perbuatannya itu tidak layak dimaafkan, jika kita menilai mengikut ukuran biasa manusia.

Jika hak kita dirompak, sememangnya kita berhak untuk mengambilnya kembali.

Tetapi, kita ingin mengatakan tentang satu nilai yang lebih tinggi daripada sekadar "kau tumbuk aku, aku tumbuk kau balik". Kita memaafkan kesalahan orang lain bukan kerana dia "layak" untuk menerimanya. Isu kelayakan tidak menjadi persoalan.

Kita memaafkannya kerana kita percaya itulah yang lebih dekat dengan ketaqwaan. Kita percaya bahawa dalam semua pilihan yang Allah berikan, itulah pilihan yang terbaik dan yang paling disukai oleh Allah.

Tambahan pula, memaafkan kesalahan orang lain menjadikan kita seorang insan yang ringan bahunya. Kita tidak dibebani dengan dendam dan kebencian. Aura negatif itu hanya akan merosakkan emosi kita, menjadikan kita seorang yang kerap kali rosak "mood".

Memaafkan orang lain sering kali dikaitkan dengan istilah "let it go" kerana kita melepaskan beban tersebut daripada bahu kita. Kehidupan selepas itu menjadi lebih tenang dan mudah.

Dalam masa yang sama, kita juga tidak alpa terhadap keadilan. Sekiranya pesalah laku itu wajar dihukum, maka dia wajar dihukum. Memaafkan tidak semestinya bermakna orang yang dimaafkan itu terlepas daripada mata keadilan.

Memaafkan itu bermakna kita aman daripada dendam dan benci.

Lagipun, bukankah kita juga inginkan kemaafan? Bagaimana kita boleh mendapat kemaafan dengan mudah jika kita tidak memaafkan dengan mudah?

Semoga ucapan "Selamat Hari Raya. Maaf Zahir Batin" tidak menjadi ucapan kosong.

Penulis: Aiman Azlan

No comments:

Post a Comment