Monday, July 13, 2015

Kita Semua Sibuk

Kisah ini berlaku dalam bulan Ramadan, di Toronto.

Selepas solat Jumaat, para jemaah melakukan solat jenazah buat seorang Muslimah yang baru sahaja memeluk Islam. Beliau memeluk Islam di katil hospital, sebelum Allah menjemputnya pulang.

Ya Allah, betapa bertuahnya roh itu! Baru sahaja memeluk Islam dan terus Allah mengambil nyawanya. Beliau kembali kepada-Nya dalam keadaan putih bersih. Tambahan pula, solat jenazah diadakan pada hari Jumaat, di bulan Ramadan – dalam hari terbaik, dalam bulan terbaik.

Aku menonton video di Youtube tentang seorang jejaka muda berumur 21 tahun yang menghidap penyakit terminal Osteosarcoma dan doktornya menjangkakan bahawa beliau akan hidup selama 6 bulan lagi.

Hanya Allah yang tahu bila kita akan mati, tetapi jangkaan itu memberikan gambaran betapa serius keadaannya sekarang. Tetapi, perspektifnya terhadap kehidupan singkatnya amatlah hebat. Beliau positif dan beliau tidak membuang masa.

Satu persamaan yang aku lihat kerap muncul dalam kalangan mereka yang sedar bahawa mereka akan mati tidak lama lagi kerana penyakit serius, ialah mereka melihat hidup ini sebagai peluang keemasan. Setiap hari menjadi satu rahmat, dan membuang masa itu satu jenayah bagi mereka.

Apabila maut sentiasa di minda, maka hidup ini dilihat menerusi kaca mata yang amat berbeza.

Ramadan berlalu seperti angin. Mereka yang sibuk dengan perkara lain tidak akan dapat menikmati kesejukannya. Aku membilang hari-hari yang berbaki, sambil menoleh ke belakang kepada hari-hari yang sudah pergi. Aku juga membilang hari ini, hari yang pasti.

Pada malam hari yang sama, selepas tamat solat terawih 8 rakaat, imam masjid memberikan tazkirah yang ringkas. Beliau menyatakan tentang kehidupan hari ini yang sibuk dan masa yang sentiasa suntuk.

“You know what our biggest issue is? Time. Nobody has time now. We are all busy. But the question is, what are we busy doing?”

Masa ini kadang-kadang terasa begitu laju, sampaikan kita tidak mampu untuk kejar. Semua orang sibuk, dan semua orang kalut. Berapa ramai antara kita yang sekali sekala berhenti seketika untuk berfikir dan menghargai perkara-perkara yang lebih penting dalam kehidupan?

Apakah masa yang mengawal aku ataupun aku yang mengawal masa? Sibuk tidak bererti aku produktif. Sibuk tidak bererti aku berjaya. Sibuk tidak bererti hidupku bermakna. Sibuk itu hanya bermakna aku mengisi masa aku dengan sesuatu.

Persoalannya, masa aku diisi dengan apa?

Penulis: Aiman Azlan

1 comment:

  1. SubhanAllah, the ultimate question that has wonderous answers.

    ReplyDelete