Kita tidak patut hidup dalam keadaan autopilot, di mana semuanya otomatik tanpa sebarang consideration ataupun refleksi - bangun, kerja, makan, tidur, bangun, kerja, makan, tidur, dan ulang balik.
Sebaliknya, setiap detik kehidupan kita perlu kita fikirkan dan tapis melalui prinsip hidup yang kita pegang. Prinsip hidup inilah yang memberi makna kepada kehidupan. Prinsip hidup ini juga menjadi asas kepada tujuan hidup yang memberi motivasi kepada diri untuk terus-menerus membaiki diri supaya tujuan hidup itu dapat dicapai.
Tapi, apakah prinsip hidup itu dan apakah tujuan hidup yang kita ingin capai?
Mudah untuk saya berikan jawapan daripada buku teks untuk menjawab soalan tersebut, tapi menyuap jawapan tidak memberi impak kalau kita tidak fahami dan hayati jawapan tersebut.
Pemahaman dan penghayatan akan datang apabila kita sendiri yang memulakan pencarian, bukannya mengharapkan suapan mulut. Kita yang harus merasakan tanggungjawab kepada diri sendiri untuk mencari jawapan kepada soalan-soalan penting kehidupan.
Soalan-soalan penting kehidupan adalah:
Siapakah aku?
Dari mana aku datang?
Mengapa aku di sini?
Ke mana aku ingin pergi?
Bagaimana aku tahu kebenaran itu kebenaran?
Soalan-soalan ini perlu ditanya oleh setiap individu kepada diri sendiri dan jawapan kepada setiap satu daripadanya harus datang daripada usaha gigih masing-masing. Soalan-soalan seperti inilah yang membentuk prinsip diri dan dari situ kita dapat melakar tujuan hidup kita atas muka bumi ini.
Tanpa tujuan hidup, kehidupan kita menjadi tidak bermakna. Kita tidak dapat melalui hidup yang penuh dengan erti. Tambahan pula, tanpa tujuan hidup yang kuat, makna kehidupan kita juga tidak akan kuat.
Contohnya, jika tujuan hidup kita ialah untuk memuaskan diri semata-mata maka makna kehidupan kita lemah. Kita menjadikan diri sendiri sebagai paksi kehidupan sedangkan diri kita sendiri itu lemah. Jika paksi kehidupan kita lemah, maka makna kehidupan kita lemah. Akibatnya, kita akan mudah jatuh dan kita akan susah untuk bangun kembali.
Maka, sesi berfikir harus bermula. Alhamdulillah, bulan Ramadan akan tiba tidak lama lagi dan ia merupakan masa yang paling optimum untuk refleksi dan pembaikan diri. Tapi kita tidak patut tunggu sehingga Ramadan untuk memulakan proses ini kerana tidak akan jaminan bahawa kita akan sempat menemui Ramadan.
Mulai sekarang, masukkan sesi pemikiran ini dalam rejimen spiritual masing-masing dan cuba untuk mencari jawapan kepada soalan-soalan penting kehidupan.
Carilah jawapan dengan berguru, membaca, dan bertanya. Carilah jawapan sehingga sebarang ragu-ragu dapat dihapuskan, keyakinan diri yang utuh dapat dibina, dan hidup penuh erti dapat dicapai.
Penulis: Aiman Azlan
No comments:
Post a Comment